top of page

Garis Panduan Hiburan Mengikut Islam


11328853_879017348824077_120575598_n.jpg

NILAI, 11 MEI 2015 – Seramai 100 peserta dari pelbagai agensi antaranya TV Alhijrah, Radio Televisyen Malaysia, Radio IKIM, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Persatuan Karyawan Malaysia, Universiti Putra Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Pendidikan Sultan Idris dan Universiti Teknologi Malaysia menyertai Wacana Pencerahan Garis Panduan Hiburan Dalam Islam 2015 yang bertempat di Galeri Canselori Universti Sains Islam Malaysia (USIM).


Anjuran bersama Pusat Kebudayaan USIM dengan Majlis Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia (MAKUM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menampilkan dua orang panel jemputan iaitu YB Dato’ Nooh Bin Gadut, Penasihat Majlis Agama Islam Johor dan Dr. Irwan Mohd Subri Pengarah Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia (INFAD) USIM.


Menurut Encik Ismail Ahmed, Pengarah Pusat Kebudayaan wacana ini bertujuan untuk mengupas keupayaan seni untuk diaplikasikan dalam pembangunan manusia menerusi aspek akal, budaya dan agama. Selain sebagai platform kepada pentadbir seni di universiti-universiti awam, jabatan kerajaan, badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan entiti yang berkaitan berkongsi ilmu berkenaan persembahan seni di Malaysia, ia juga bertujuan memperkukuhkan kefahaman pentadbir seni agar selari dari segi persediaan dalam penganjuran program-program kesenian.

”Garis Panduan Hiburan Dalam Islam Edisi Kedua ini telah diperakukan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Kali Ke-107 pada 10- 11 Februari 2015. Manakala Wacana Pencerahan Garis Panduan Hiburan Dalam Islam Edisi Kedua telah diterbitkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia bagi mendapatkan pandangan dan kupasan yang tepat dan menelusuri aspirasi syariat Islam”,tambah beliau.


Ulas YB Dato’ Nooh Bin Gadut, ekoran penganjuran konsert liar seperti Festival Muzika yang mengorbankan nyawa penonton remaja dan hiburan K-Pop yang mencetuskan kontroversi kepada masyarakat, wacana seperti ini harus dianjurkan lebih kerap bagi memberi pemahaman yang mendalam kepada penggiat seni tanah air tentang pandangan dan panduan agama Islam mengenai penganjuran sesuatu persembahan.


“Terlalu ramai penganjur yang masih tidak memahami konsep penganjuran sesuatu persembahan mengikut aturan Islam kerana mereka terlalu mengejar keuntungan sehigga menggalakkan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan,” tegas beliau.


Turut hadir dalam wacana ini ialah Dato Freddie Fernandez, Presiden Persatuan Karyawan Malaysia yang dalam ucapannya mengakui wacana yang dianjurkan ini sangat bermanfaat dan mencadangkan pihak-pihak yang terlibat untuk turut hadir dalam program sebegini bagi memperoleh kefahaman yang mendalam sebelum menganjurkan sesuatu konsert.


“Terima kasih dan tahniah kepada pihak penganjur kerana berjaya menganjurkan program yang saya anggapkan sangat penting untuk memberi kesedaran kepada penggia-penggiat seni disamping memberi pencerahan yang lebih mendalam kepada mereka,” tambah beliau.

Wacana Pencerahan Garis Panduan Hiburan Dalam Islam 2015 ini dirasmikan oleh Prof. Dr. Nik Wan Bin Omar, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang merangkap Pengerusi MAKUM.

 FOLLOW THE ARTIFACT: 
  • Facebook B&W
  • Twitter B&W
  • Instagram B&W
 RECENT POSTS: 
 SEARCH BY TAGS: 
bottom of page