Dikir barat warisan tradisional perlu dipertahan
Umum mengenali dikir barat adalah salah satu warisan budaya yang berasal dari Pantai Timur iaitu Kelantan. Perkataan Dikir ialah hasil dari 2 kombinasi seni iaitu, dikir dan pantun atau dikir dan karut.
Pengertian "karut" itu sendiri ialah dari istilah mengarut dalam bentuk pantun atau syair. Jadi dikir barat, dikir karut, dikir pantun dan dikir syair adalah sama ertinya. Walau bagaimanapun di Kelantan ianya lebih terkenal dengan Dikir Barat dan di Selatan Siam dengan Dikir Karut.
Namun tidak ramai yang mengetahui tentang asal usul seni warisan ini. Terdapat beberapa pendapat mengenai asal usul dikir barat.
Ada yang berpendapat bahawa dikir barat berasal dari Selatan Siam yang lebih dikenali dengan nama dikir karut.
Ada juga yang mengatakan dikir barat adalah hasil gubahan oleh Haji Mat Salleh bin Haji Ahmad atau lebih dikenali dengan nama Pak Leh Tapang. Beliau telah mengubahsuai dikir barat yang berasal dari Selatan Siam dengan menambah pantun-pantun di dalamnya.
Di dalam persembahan Dikir Barat terdapat satu kumpulan yang diketuai oleh seorang “Tukang Karut” dan “Tok Juara”. Mereka akan mengarut sambil berbalas-balas pantun dan diikuti oleh awak-awak sebagai suara latar dengan suara yang kuat dan lantang.
Presiden Persatuan Peggiat Seni Budaya Kelantan (PESIBAN), Encik Asrulfaizal Kamaruzaman menyatakan bahawa dikir barat dahulunya menjadi aktiviti orang kampung mengisi masa pada waktu malam dan kadang-kadang sehingga sampai waktu subuh.
"Dikir barat dahulunya menjadi permainan orang-orang kampung dalam mengisi masa terluang dan biasanya dimainkan di atas bangsal yang dibuat daripada buluh berlantaikan papan dan beratapkan daun kelapa menjadi pentas atau tempat membuat persembahan," katanya.
Namun pada zaman sekarang dikir barat cukup terkenal di seluruh negara. Terdapat banyak pembaharuan yang telah dilakukan dalam memenuhi aspek dan ciri-ciri kemodenan. Dikir barat acap kali dilihat keluar di cerung-cerung kaca televisyen seperti Karoot Kemodia, Maharaja Lawak, Selamat Pagi Malaysia dan lain-lain rancangan. Hal ini menunjukkan bahawa dikir barat mampu dan berupaya untuk memenuhi kehendak arus kemodenan.
Encik Mohd Sulhie Yusuf, seorang penggiat seni yang aktif dalam bidang dikir barat berkata, kesan daripada kemodenan ini telah membuahkan hasil yang positif dalam perkembangan seni dikir barat sehingga ke negara jiran seperti Singapura yang telah mula bergiat dalam dikir barat.
"Saya pernah mengadakan bengkel dikir barat di Singapura dan saya mendapati bahawa pendikir-pendikir di sana ternyata sangat aktif menyebar luas warisan seni budaya ini terutama dalam kalangan belia," katanya.
Di dalam agama Islam tidak ada larangan atau halangan untuk berhibur selama mana tidak bercanggah dengan aturan agama. Begitu juga dengan dikir barat. Ramai yang memandang serong terhadap seni dikir barat setelah mendengar dan melihat lagu-lagu yang dinyanyikan oleh penyanyi perempuan dengan menggunakan loghat atau dialek Kelantan. Sebenarnya lagu-lagu tersebut tidak tergolong dalam lagu dikir barat, tetapi dikenali sebagai “lagu daerah” yang dinyanyikan menggunakan loghat Bahasa Kelantan. Justeru itu hal ini perlu dipandang serius oleh badan-badan atau jabatan-jabatan yang berkait rapat dengan kebudayaan bagi mengelak perkara sebegini.
Selain daripada itu, kita juga dapat melihat beberapa kumpulan dikir barat yang menggunakan landasan ini untuk tujuan menyampaikan dakwah. Sebagai contoh rancangan televisyen “Rasul Yang Kata” telah menampilkan kumpulan dikir barat yang membuat persembahan berunsurkan keagamaan. Hal ini merupakan perkara yang sangat positif di mana dalam hiburan juga kita mampu untuk menyampaikan dan menyebarkan dakwah.
Tambah Encik Ismail Ahmed, Pengarah Pusat Kebudayaan Universiti Sains Islam Malaysia, sebagai seorang penggiat seni kita perlu sentiasa memikirkan strategi dan memanfaatkan segala ruang yang ada untuk mengembangkan lagi seni warisan budaya disamping menambah elemen-elemen yang sesuai bagi menampakkan keunikan dan kelainan.
"Saya melihat seni dikir barat sekarang jauh berbeza dengan zaman dahulu dimana pelbagai perubahan telah disuntik dan saya percaya sedikit masa lagi dikir barat mampu berdiri megah dalam dunia seni hiburan tanah air," ujar beliau.
Kesimpulannya, setiap orang perlu memainkan peranan dalam mempertahan seni warisan dikir barat daripada pupus terutama golongan belia yang semakin mengejar dunia moden sekaligus menahan mereka untuk mengenal dan mendalami asal usul pusaka yang ditinggalkan oleh nenek moyang kita.