Kumpulan Dikir Barat Tabuh Pendeta Rangkul Anugerah Emas I-FESSEM ‘15
USIM, 15 MEI 2015 – Menampilkan persembahan yang cukup bertenaga dan kreatif, kumpulan dikir barat Tabuh Pendeta Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berjaya memenangi anugerah Emas Utama sempena Festival Seni USIM 2015 (I-FESSEM) yang berlangsung di dewan besar USIM.
Mendapat ulasan terbaik daripada barisan juri yang hebat iaitu Fauzi Marzuki, komposer terkenal juga Dr. Ahmad Faizan yang didatangkan khas untuk menilai keberkesanan aktiviti budaya ini dan juga menilai tahap kreativiti yang dilontarkan pelajar dari hasil kesenian mereka, kumpulan kesenian Dikir Barat Tabuh Pendeta telah berjaya menambat hati juri untuk memilih mereka sebagai juara.
Bertemakan dakwah dalam seni, kumpulan dikir barat Tabuh Pendeta membawa keunikan dari segi penyampaian dan aksi dikir barat yang menarik selain mesej ketuhanan yang mendalam dan sejarah perjuangan Rasulullah dalam berdakwah diselitkan dalam lirik-lirik lagu nyanyian mereka.
Wakil dari kumpulan Tabuh Pendeta, saudara Mokhtarudin bin Ismail yang juga merupakan tukang karut bagi kumpulan tersebut menyatakan perasaan terkejut dan tidak menyangka akan dinobat sebagai pemenang pada malam itu.
“Saya tidak menjangkakan kemenangan ini akan berpihak kepada kami, apapun saya amat berterima kasih kepada ahli-ahli kumpulan kerana sentiasa meyokong saya dan ini adalah kemenangan kami bersama sebagai satu pasukan,” katanya.
Ulas Fauzi Marzuki, sebagai seorang juri beliau amat teruja dan terpukau melihat persembahan oleh kumpulan dikir barat Tabuh Pendeta yang amat bertenaga dan unik dengan menyanyikan lagu-lagu dalam pelbagai bahasa.
"Kumpulan dikir barat Tabuh Pendeta sememangnya layak untuk memenangi anugerah ini kerana saya dapat melihat kelainan yang cuba mereka tunjukkan dan mereka telah berhasil memenangi hati para juri," tambah beliau.
Kumpulan Tabuh Pendeta yang juga merupakan naib johan Pertandingan Dikir Barat antara IPT 2015 yang berlangsung di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) baru-baru ini menyatakan hasrat mereka untuk lebih maju dan meningkat naik di masa hadapan sekaligus memartabatkan karya seni seiring dengan dakwah Islam.
Sebagai ketua kumpulan yang juga merupakan "tok jogho" kumpulan Tabuh Pendeta, Mohamad Ikhwan Salleh berkata beliau sangat berpuas hati dengan kemenangan yang dicapai dan berharap untuk meneruskan tanggungjawab sebagai pendakwah didalam seni hiburan.
"Alhamdulillah kejayaan ini adalah kejayaan bersama saya dan rakan sepasukan yang telah berpenat lelah membuat latihan setiap minggu dan saya berharap kemenangan ini menjadi pembakar semangat kepada kami untuk terus berjuang dalam seni budaya," katanya.