Bekam : Perubatan Sunnah Terbaik Rasulullah s.a.w Semakin Dilupakan
Kebelakangan ini, kita didedahkan dengan pelbagai penyakit yang berbahaya disebabkan oleh faktor- faktor persekitaran yang kurang bersih serta tercemar.
Pada masa kini, kewujudan teknologi- teknologi perubatan moden semakin berkembang hingga menenggelamkan kaedah rawatan pada masa dahulu. Tanpa kita sedari, rawatan bekam merupakan satu rawatan sunnah Rasulullah s.a.w yang amat terbaik disarankan oleh baginda.
Rasulullah s.a.w bersabda : " sesungguhnya cara perubatan yang paling efektif (baik) ialah dengan berbekam atau cara perubatan yang paling utama ialah berbekam." (HR Bukhori-Muslim, ini adalah lafaz Muslim)
Jelas bahawa Rasulullah telah mengajarkan kepada umat Islam tentang perubatan yang terbaik serta khasiatnya yang luar biasa dalam menyembuhkan pelbagai penyakit.
Ringkasnya, bekam yang turut dikenali sebagai Hijamah dalam bahasa arab didefinisikan dalam kamus dewan edisi keempat sebagai satu kaedah perubatan mengeluarkan darah kotor daripada badan seseorang dengan cara membedah sedikit pada kepala atau belakang badan dan menghisap darah kotor dengan tanduk atau cawan panas yg ditelungkupkan pada tempat yang telah dibedah itu.
Kaedah perubatan bekam ini sebenarnya berasal daripada amalan malaikat yang berkongsi ilmu kesihatan yang terbaik kepada Rasulullah s.a.w sewaktu peristiwa Israk dan Mi’raj. Seterusya, perubatan ini sangat istimewa demi membantu Baginda serta umat Islam memperoleh kesihatan yang baik agar mudah untuk beribadah kepada Allah s.w.t.
Diriwayatkan oleh Al- tirmidzi bahawa Rasululullah s.a.w bersabda: "Sesungguhnya aku telah melalui sekumpulan malaikat pada malam aku di Isra' oleh Allah Taala dan mereka telah berkata, 'Wahai Muhammad suruhlah umatmu berbekam."
Tidak dapat dinafikan, perubatan bekam mampu mengubati pelbagai penyakit kronik yang makin berleluasa secara langsung mahupun tidak langsung. Antaranya adalah mengatasi masalah asma, pneumonia, dan mengatasi gangguan tekanan darah dan arteriosclerosis ( pengapuran pembuluh darah / kolesterol dalam darah dan pembuluh yang boleh menyempitkan saluran darah)
Berdasarkan keratan akhbar Sinar Harian Disember 2014, Penyelaras Program Juru Bekam Klinikal, Prof Dr. Ab Aziz Al- Safi berkata, merujuk kepada kajian saintifik yang dilakukan beliau selama dua tahun, perubatan bekam bukan hanya sekadar perubatan sunnah semata- mata, bahkan ia mampu menyembuhkan penyakit- penyakit kronik.
“ Kajian ini memberi hasil yang menunjukkan indikator terhadap pelbagai penyakit dengan mengurangkan kolesterol , menurun tekanan darah tinggi dan kencing manis.
“ Paling penting, saluran saraf menjadi lebih anjal boleh mengelak serangan penyakit jantung sekali gus menghindar daripada strok, serta baik untuk buah pinggang dan gaut,” katanya.
Selain itu, terdapat dua jenis bekam iaitu bekam kering dan bekam basah. Bekam kering atau bekam angin adalah kaedah dimana menghisap permukaan kulit tanpa mengeluarkan darah toksik. Kebiasaannya, bekam jenis ini digunakan bagi orang yang tidak tahan suntikan serta takut melihat darah.