Sambutan Hari Buku Sedunia Terap Nilai Budaya Intelek
NILAI,29 MEI 2015 – Sempena sambutan hari buku sedunia peringkat USIM, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) membuka tirainya menerusi ceramah yang bertajuk “ Membina Budaya Intelek mengikut Perspektif Murabbi” yang bertempat di lobi perpustakaan USIM.
Program anjuran Jabatan Perpustakaan dan Bahagian Penerbitan USIM dengan kerjasama Arkib Negara Malaysia, memberi pencerahan tentang konsep pendidikan diri berasaskan budaya intelek di mana budaya intelek ini berkait dengan kewujudan bagi setiap lapisan masyarakat yang melibatkan diri dengan kegiatan ilmu dan setiap tindakan manusia sama ada di tahap individu atau masyarakat yang diputuskan berdasarkan ilmu.
Menurut Prof.Madya Dr. Mohd Nor Mamat, menjawat sebagai Profesor Madya di Akademi Pengajian Kontemporari UITM berkata, pendidikan diri berdasarkan budaya intelek perlu diberikan asas- asas utama untuk menguasai ilmu tersebut.
“ Budaya intelek merupakan budaya orang- orang yang bijak dan semuanya bermula daripada asas- asas yang tertentu dan ia dipraktikkan dalam kehidupan.”
“ Kemudian, budaya intelek adalah amalan yang perlu istiqamah serta menggunakan rujukan benar serta telus dalam penyebaran sesuatu ilmu pengetahuan,” kata beliau dalam ucapannya.
Bagi Nor Farhana Ismail, tahun tiga, Fakulti Pengajian Quran dan Sunah ( FPQS), beliau turut berkongsi sedikit manfaat yang diperoleh dalam program tersebut.
“ Pada pandangan saya, program ini dapat melahirkan mahasiswa yang berdaya intelektual dan progresif.”
“Justeru, sekalung tahniah saya ucapkan kepada pihak USIM kerana mewujudkan program seperti ini kerana membuka minda mahasiswa berfikir ke arah yang lebih bijak,” tambahnya lagi.
Salah seorang mahasiswa, Nor Syairah Mohd Azam, tahun tiga, Fakulti Pengajian Quran dan Sunah ( FPQS), berkata, mahasiswa perlu menitik beratkan budaya intelek dalam diri setiap individu.
“Program ini sangat wajar dijalankan terutama kepada pelajar universiti kerana banyak mengubah perspektif pemikiran pelajar kepada pemikiran yang lebih intelektual dan bermutu.”
“Program ini juga mengajar kita dalam berhati-hati menyebarkan maklumat bagi melahirkan masyarakat yang lebih intelektual,” jelasnya lagi.