Slot Bicara Siswi dedah kekuatan rahim seorang ibu
Seramai 100 orang pelajar mahasiswi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) didedahkan tentang pengorbanan seorang ibu dalam slot ‘ Kekuatan Rahim Seorang Ibu’ bertempat di Dewan Kuliah Fakulti Pengajian Quran dan Sunah (DKF FPQS) baru- baru ini.
Program anjuran bicara siswi dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar USIM (MPP USIM) mendapat sambutan yang menggalakkan daripada mahasiswi bersempena dengan hari ibu.
Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar & Pengurusan Prestasi), Prof. Norita Md Narwawi berkata, kekuatan rahim seorang ibu memainkan peranan besar dalam melahirkan generasi yang mulia.
“ Rahim merupakan tempat yang paling aman di samping bebas daripada sebarang penyakit . Ini kerana Allah s.w.t menapis rahim daripada sebarang penyakit kerana peranannya yang amat besar dalam melahirkan anak- anak syurga serta generasi yang mulia,” kata beliau.
Tambahan itu, beliau turut berkongsi kepada mahasiswi tentang peranan seorang ibu dalam membentuk generasi yang baik.
“ Seorang ibu perlu mengambil berat serta prihatin akan pendidikan anak-anak sejak dari alam rahim lagi iaitu dengan mengambil makanan dari sumber yang halal, tingkah laku serta akhlak yang baik,”.
Menurut Nurul Atikah Mohammad Shafii, Timbalan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar, menegaskan bahawa kekuatan rahim turut mempengaruhi lahirnya generasi yang rosak pada masa kini.
“ Kekuatan rahim seorang ibu perlu dititik beratkan kerana kita seharusnya ketahui bahawa rosaknya generasi pada hari ini disebabkan mereka tidak mendapat kekuatan rahim daripada ibu-ibu mereka.
“Oleh itu, kita sebagai wanita perlu hargai betapa nilainya rahim seorang wanita dalam membentuk ummah yang terbilang demi agama Islam,” tambahnya lagi.
Bagi Nor Fatihah Mohd Yusoff, tahun tiga , Fakulti Pengajian Quran dan Sunah, slot bicara siswi tentang kekuatan ‘rahim’ seorang ibu begitu menarik dalam mendedahkan tentang pengorbanan seorang ibu.
“ Pada pandangan saya, slot pada hari ini amat menyentuh hati di mana menceritakan pengorbanan seorang ibu yang tidak ternilai serta penghargaan kepada jasa seorang ibu yang tidak terperi,” katanya sewaktu ditemu ramah.
Seterusnya, beliau turut menggalakkan mahasiswi USIM bagi hadir ke slot bicara siswi kerana banyak manfaat yang dapat diperoleh darinya.
“ Saya berharap mahasiswi USIM dapat menghadirkan diri ke program seperti ini kerana program ini memang khusus untuk wanita sahaja dan mereka mampu memperoleh banyak manfaat darinya,” katanya.