Ulang tahun ke-15 FPQS mendapat sambutan baik
USIM - Sambutan ulang tahun Fakulti Pengajian Quran Sunnah (FPQS) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang ke-15 yang seiring dengan usia universiti tersebut, mandapat sambtan baik dalam kalangan pelajar USIM.
Majlis pelancaran sambutan ulang tahun ke-15 FPQS diadakan di Dewan Kuliah Utama fakulti berkenaan yang dirasmikan oleh Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Dr. Musa Ahmad. Yang turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Zulkiple Abd. Ghani dan Dekan FPQS, Prof. Madya Dr. Adnan Mohamed Yusoff.
Menurut Naib Canselor USIM Prof. Dato’ Dr. Musa Ahmad, USIM bersungguh untuk terus memartabatkan pengajian Quran dan Sunnah dalam arus perdana pendidikan negara. Untuk bergerak selari dengan perubahan semasa, inovasi dilakukan ke atas program yang ditawarkan dengan mengintegrasikan pengajian Quran dan Sunnah secara tradisi dengan ilmu-ilmu moden baharu.
“Untuk meluaskan lagi program akademik yang ditawarkan, FPQS juga telah merintis kerjasama dengan pihak luar dengan menawarkan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Quran dan Sunnah USIM di Darul Quran serta mengadakan program kerjasama berbentuk francais dengan KIPSAS dan dimaklumkan sehingga kini, FPQS mempunyai seramai 1800 orang pelajar”, jelas Dato’ Musa.
Selain itu, menurut timbalan pengarah program Konvensyen ke-15 , Nurul Nabila Bt. Ahmad Ruslan, 22, penyertaan yang diterima bagi program yang bertemakan “FPQS Meneladani Quran & Sunnah, Memperkasa Ukhuwah Ummah” ini cukup memberangsangkan dan mendapat sokongan yang cukup baik daripada pensyarah mahupun para pelajar.
Program yang berlangsung selama dua minggu ini juga turut menghidupkan sunnah Rasulullah S.A.W melalui aktiviti-aktiviti yang diadakan. Antaranya adalah pertandingan memanah, Battle of Nasyeedian, pertandingan tilawah dan hafazan Al-Quran, Scrable Hadis 40, karnival keusahawanan yang menggalakkan para pelajar dalam bidang perniagaan berlangsung selama seminggu.
Menurut salah seorang mahasiswa, Lailatul Akma bt Ab Rahman, 22, program ini sangat penting dalam membina semangat pelajar dalam mengasah bakat mereka dalam pelbagai bidang seperti kebudayaan, kemahiran, dan keilmuan.
“Dalam masa yang sama, konvensyen ini dapat mengeratkan hubungan silaturrahim dalam kalangan penganjur dan para pelajar disamping menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan dengan baik sekaligus dapat memupuk semangat kerjasama di antara satu sama lain” tambahnya lagi.
Kemeriahan konvensyen ini dapat dilihat dengan ramainya pengunjung dari fakulti lain seperti fpbu,fkp,fsu dan fakulti yang lainnya.
Suasana sekitar acara Battle of Nasyeedian yang diadakan di Dewan Kuliah Utama,FPQS.