Lawatan ilmiah FPBU Ke Karangkraf dedah media dan percetakan sebenar
Shah Alam : Mahasiswa Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) didedahkan dengan dunia media dan kewartawanan serta proses dan operasi yang dapat dilihat dalam penerbitan dan percetakan dalam lawatan ke Kumpulan Media Karangkraf baru- baru ini.
Seramai 50 orang mahasiswa Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menyertai lawatan ilmiah tersebut.
Menurut Eksekutif Perhubungan Awam dan Komunikasi Korporat, Puan Kesuma berkongsi serba sedikit latar belakang tentang penubuhan media karangkraf di samping hasil penerbitan dari syarikat tersebut.
“ Secara umumnya, syarikat ini diasaskan oleh Dato' (Dr.) Hussamuddin Bin Haji Yaacub pada 1978. Alhamdulillah, syarikat ini sudah bertapak selama 37 tahun serta berjaya menerbitkan lebih kurang 27 buah majalah.
Beliau turut menjelaskan tentang tugasan harian bagi staf- staf terlatih media dan percetakan karangkraf.
“ Seterusnya, ini merupakan tempat di mana wartawan – wartawan mula menulis berita berdasarkan cerita yang diperoleh.
Kemudian, bahagian editorial akan mengambil alih bagi mengemaskini semula serta mengedit berita tersebut agar lebih tersusun serta terperinci untuk diterbitkan,” kata beliau.
Bagi ketua program, Mohd Ashraf Amran, tahun tiga, Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Program lawatan Ilmiah ini amat menarik bagi mendedahkan kepada mahasiswa tentang proses percetakan dan penerbitan secara praktikal.
“ Program sebegini amatlah bermanfaat kerana memberi sedikit sebanyak pendedahan kepada mahasiswa secara praktikal serta berkait dengan bidang pengkhususan FPBU iaitu Bahasa Arab dan Komunikasi.
Jelas bahawa proses pembelajaran secara teori tidak dapat membantu mahasiswa mengetahui secara menyeluruh tentang bidang tersebut.
Oleh itu, adanya program lawatan ini, mahasiswa dapat mengetahui bagaimana proses percetakan dari awal hingga akhirnya menjadi sebuah bahan bacaan serta buku.” Kata beliau sewaktu ditemu ramah.
Pada Aimie Qurratue Ainie Anwar, tahun tiga, Fakulti Pengajian Bahasa Utama, beliau turut berpuas hati dengan program lawatan ilmiah tersebut.
“ Bagi saya, program lawatan ini amat bagus kepada mahasiswa kerana dapat melihat sendiri bagaimana sesuatu percetakan dan penerbitan beroperasi.
Pada masa yang sama, program lawatan ini memberi sesuatu inspirasi baru kepada mahasiswa di alam pekerjaan dalam bidang tersebut di samping membantu mahasiswa itu sendiri merasai suasana sebenar secara praktikalnya.” Tambah beliau.