Penjagaan Hati Kunci Utama Perubahan Diri
USIM, 13 MEI 2015- Bicara ilmiah “Sayonara Jahiliyyah” yang mencakna minda para pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) fokus kepada penjagaan hati membentuk sahsiah diri.
Program ini anjuran SekreFEM dengan kerjasama Sekretariat Pendakwah Muda Malaysia (SPMM) USIM bertempat di dewan DKF 2.2 FPQS yang berlangsung baru-baru ini.
Panel jemputan yang merupakan penceramah bebas iaitu Ustazah Rozita bt Abdul Hamid, berkata kayu ukur untuk berubah dapat dirumuskan melalui penjagaan hati.
“Jika baik sebuku daging yang dinamakan hati ini, maka baiklah seluruhnya. Sebab itu hati kita ini menjadi perkara yang biasa apabila dia berubah kerana kita semua lahir dalam keadaan suci dan bersih dan ibu bapa yang mencoraknya.”
“Penjagaan hati memainkan peranan yang sangat penting untuk perubahan diri kerana hati kita sentiasa berubah,” jelasnya.
Tambah beliau lagi, pelbagai cara Yahudi gunakan untuk menjerumuskan anak muda kini khususnya mahasiswa melalui tiga cara iaitu cara berpakaian, hiburan dan makanan.
“Remaja sekarang sukar untuk berubah ke arah kebaikan disebabkan 3F iaitu “Fesyen”, “Food” dan “Fun” yang dilakukan oleh Yahudi secara tidak kita sedari untuk melalaikan anak muda kini hanyut dalam kejahilan,” ujarnya.
Beliau juga yang turut memberi tip untuk penjagaan hati iaitu pegang hati dan istighfar 11 kali dan selawat keatas nabi 11 kali setiap pagi apabila bangun daripada tidur kerana itu merupakan makanan hati.
Tambahan itu, menurut Ustaz Mohd Syamsul Hakim bin Abd Samad yang merupakan pensyarah FPQS beliau memperjelaskan lagi mengenai tajuk ini dengan menyatakan sesuatu perubahan itu mestilah dengan niat kerana Allah bukan kerana manusia.
“Untuk melakukan apa-apa perubahan atau tindakan untuk berubah yang bermula dari hati, buatlah perubahan kerana Allah Azza Wajalla. Kerana itulah yang menghasilkan ketetapan pada hati kita dan iltizam kita dalam melaksanakannya.”
“Andai kata ianya sesuatu yang lain daripada Allah pastinya ia akan terkubur suatu masa nanti,” jelas beliau lagi.
Bila ditanya salah seorang hadirin Nor Salwani bt Jamil Hosni,22 mengenai pandangan beliau tentang program ini, beliau menyifatkan program ini sememangnya bagus bagi mereka yang berazam untuk berubah.
“Apabila terdetik di hati seseorang itu untuk berubah kearah yang lebih baik maka jangan dihentikan dengan prasangka buruk. Dengan menghadirkan diri dalam program ilmiah seperti ini dapat menetapkan niat kita ke arah perubahan yang lebih bermakna,” jelasnya ketika ditemubual.