top of page

JANA PENDAPATAN MELALUI MEDIA SOSIAL


money.jpeg

Dunia masa kini lebih fokus dengan penggunaan media sosial sebagai medan interaksi antara masyarakat. Secara umumnya, kita didedahkan dengan pelbagai aplikasi-aplikasi media sosial seperti Twitter, Facebook, Whatsapp, Wechat mahupun Instagram yang mampu menyumbang dalam menjana pendapatan secara atas talian (online).


Media sosial didefinisikan oleh Jeffret sebagai ‘pembangunan perisian yang membolehkan penglibatan massa dalam aktiviti sosial dan kolektif”. Jaringan sosial ini wujud daripada keupayaan pengguna untuk mewakili diri dan minat mereka dalam platform sosial dan menggiatkan aktiviti dengan yang lain dalam saluran media sosial ini.


Menurut kajian OpenMindsResources.com tahun 2012, 29% daripada pengguna internet di Malaysia lebih gemar menghabiskan masa sekurang-kurangnya 1-2 jam untuk membeli-belah di internet.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam sebuah keratan akhbar tempatan turut menggalakkan masyarakat agar tidak menggunakan jalur lebar atau internet sebagai kegunaan sosial semata, sebaliknya menjadikan rangkaian ini sebagai inisiatif untuk meningkatkan pendapatan ekonomi dengan menjalankan perniagaan secara atas talian.


Selain itu, wujud laman periklanan yang boleh disertai dalam laman Facebook bagi mengiklankan jualan produk atau perkhidmatan. Sebagai contoh iklan tudung eksklusif Fareeda. Hal ini demikian membuka peluang keemasan kepada pengguna media sosial untuk menambahkan pendapatan secara langsung mahupun tidak langsung.


Antara periklanan yang boleh dipaparkan adalah jualan barangan kemas, pakaian, produk-produk kecantikan mahupun kesihatan. Tambahan itu, ramai pembekal produk menggunakan media sosial untuk mencari penjual-penjual produk mereka yang dikenali agen ‘dropship’ dan tidak kurang juga ada yang mencari guru tuisyen secara atas talian.


Bagi Nuryusni Yusof, 28, beliau merupakan pemilik butik Norhir Collection di Muar, Johor. Menurutnya, perniagaan secara atas talian lebih mudah dan mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada pengguna-pengguna media sosial pada masa kini. Selain itu, sambutan yang menggalakkan bukan sahaja daripada pelanggan dalam kalangan rakyat Malaysia bahkan diluar negara juga seperti Brunei.


“ Alhamdulillah,,saya menggunakan media sosial sebagai medium untuk menjalankan perniagaan kerana mendapat sambutan yang baik daripada pelanggan- pelanggan saya. Malah pelanggan -pelanggan saya bukan sahaja dari dalam negara bahkan dari luar negara juga, “ katanya.


Tambahnya lagi, pada era masa kini, penggunaan media sosial makin berleluasa dari semasa ke semasa. Oleh itu, beliau mengambil peluang yang ada kerana pengguna lebih gemar membeli secara atas talian jika dibandingkan terpaksa keluar ke kedai selain dapat menjimatkan masa.


“Pada masa kini, pengguna lebih gemar membeli secara online dibandingkan terpaksa keluar ke kedai disebabkan lebih mudah dan menjimatkan masa daripada kesibukan bekerja,” katanya lagi.

Sehubungan itu, terdapat juga individu yang sudah mempunyai profesion tetap turut menceburi bidang perniagaan melalui media sosial. Ini bermakna mereka menjadikan aktiviti jualan online ini sebagai kaedah untuk menjana pendapatan sampingan.


Menurut Fatin Nadzirah, 28, merupakan pegawai kawalan kredit di sebuah Syarikat Media Prima turut menjalankan perniagaan secara atas talian bagi menambah pendapatan seharian.


“ Sebenarnya saya memang minat berniaga sejak dahulu lagi. Pendapatan bulanan tidak mencukupi untuk perbelanjaan seharian. Oleh itu, saya menggunakan inisiatif media sosial bagi menjana pendapatan tambahan walaupun hanya sedikit keuntungannya,” katanya sewaktu ditemubual.


Lantaran itu, terdapat juga pengguna laman sosial yang masih menuntut di kolej mahupun universiti mampu menjana pendapatan secara atas talian sebagai alternatif mencari pendapatan sampingan.

Bagi Siti Khadijah Azahar, 21, pelajar jurusan diploma Syariah Undang – Undang di Kolej Islam Teknologi Antarabangsa Pulau Pinang turut aktif berniaga secara atas talian.


“ Sebenarnya saya melibatkan diri dalam dunia business sejak disember 2013 dengan menjadi agen dropship melalui medan sosial. Pada pandangan saya, media sosial lebih meluas kerana dapat mengakses serta mencapai ke seluruh Malaysia serta luar negara. Bukan itu sahaja, bahkan majoriti pelanggan saya bukan dalam kalangan orang yang saya kenali,” katanya.


Namun begitu, beliau turut berkongsi tentang cabaran dan risiko yang perlu dihadapi dalam dunia perniagaan secara atas talian ini.


“ Perniagaan secara online memerlukan kesabaran yang tinggi dengan melayan kerenah pelanggan-pelanggan bagi memuaskan hati mereka. Peniaga perlu menanggung risiko di mana barang yang dijual rosak mahupun lewat diterima oleh pelanggan selain dimarahi dan dituduh menipu oleh pelanggan walaupun sudah memberi bukti pengeposan.


“ Selain itu, risiko terdedah dengan penipuan turut berlaku di mana pelanggan menipu dengan menggunakan resit pembayaran yang palsu dalam membeli secara online. Oleh itu, peniaga perlu membuat online banking system atau sistem perbankan secara online bagi menyemak pembayaran daripada pelanggan secara lebih teliti,” tambahnya lagi.


Tuntasnya, media sosial mampu menyumbangkan sesuatu yang berfaedah kepada masyarakat dalam menjana pendapatan seharian. Menjadi sia-sia kepada pengguna laman sosial jika tidak memanfaatkan kecanggihan teknologi masa kini malah semakin rugi bagi mereka yang menggunakan laman sosial hanya untuk berinteraksi sambil membuang waktu tanpa membuahkan sebarang hasil.

 FOLLOW THE ARTIFACT: 
  • Facebook B&W
  • Twitter B&W
  • Instagram B&W
 RECENT POSTS: 
 SEARCH BY TAGS: 
bottom of page