USIM RANGKUL ANUGERAH BINA KEMUDAHAN UNTUK MASYARAKAT
USIM, 16 April – Kumpulan Sonic dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berjaya merangkul Anugerah Khas, Pengurusan Bencana Negara dalam konvensyen kumpulan inovatif dan kreatif (KIK) peringkat universiti awam kali ke-11.
Anugerah tersebut disampaikan oleh Ketua Pengarah, KPPT, JPT, Pejabat Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Y.Bhg. Dato’ Prof. Dr. Asma Binti Ismail.
Menurut salah seorang ahli kumpulan Sonic, Dr. Nik Mohd Shafikudin Md Taujuddin ketika ditemubual berkata ciptaan mereka yang diberinama "beg sonic" merupakan peti kecemasan pelbagai guna.
“Peti kecemasan sedia ada tidak sesuai digunakan semasa aktiviti luar yang diperbuat dari bahan plastik yang mudah rosak menjadi faktor tercetusnya idea kami dalam penciptaan beg sonic,” tambah beliau lagi.
Dengan terciptanya projek seperti ini dapat memberi satu penyelesaian berkesan kepada orang awam untuk menggunakan peti kecemasan yang boleh disesuaikan dalam pelbagai guna ketika melakukan aktiviti luar.
“Salah satu penglibatan kami yang menyokong orang awam dalam menjalankan aktiviti luar adalah program standby pelajar yang merupakan satu program untuk menyediakan perkhidmatan dan perubatan yang terbaik,” katanya.
Konvensyen KIK yang berlangsung selama tiga hari bermula 14 hingga 16 April bertempat di Dewan Kuliah Pusat 3 dan 4 USIM merupakan penyertaan kali pertama Kumpulan Sonic di peringkat USIM dan IPTA.
Ulas Dr. Nik Mohd Shafikudin lagi ketika majlis perasmian penutup KIK, projek ini ke peringkat yang lebih luas masih dalam perancangan.
“ Berdasarkan pengamatan saya setakat ini, belum ada lagi peti kecemasan yang serupa dengan beg sonic di pasaran, dan jika ada peluang, produk ini akan dikomersialkan dalam pasaran,” tambah beliau lagi.
Selain itu juga, kumpulan SMART yang mewakili USIM y turut merangkul Anugerah Fasilitator Terbaik dalam kategori pengurusan. Kumpulan tersebut mempertaruhkan projek Sistem myTrepS (Tamhidi Report System) pada konvensyen tersebut.