USIM Cakna Kesihatan Mahasiswa
NILAI- Mahasiswa haruslah menitik beratkan penjagaan kesihatan di samping mengejar pembelajaran akademik, sejajar dengan misi dan visi, mencapai integrasi Naqli dan Aqli. Justeru program kesihatan seperti senam robik dan berbasikal harus dilaksanakan bagi memastikan warga universiti sentiasa dalam keadaan sihat.
Menurut Mohd Idham, pengawal keselamatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), program sebegini bagus untuk warga universiti dan patut dilaksanakan pada setiap minggu.
Beliau menyatakan, selain menekankan kepentingan penjagaaan kesihatan badan, mengeratkan hubungan antara staf dan pelajar juga merupakan tujuan utama Program Senamrobik, Berbasikal, dan Pemeriksaan Kesihatan diadakan.
“Setakat ini, kesihatan para pelajar adalah di tahap yang memuaskan berdasarkan rekod Indeks Jisim Badan (BMI), tekanan darah dan keseimbangan badan mereka”, kata Puan Syamimi Mazlan, staf di Jabatan Kesihatan USIM ketika ditemuramah, Rabu lalu.
Ulasnya lagi, sebenarnya tiada alasan sempat atau tidak dalam menguruskan kesihatan kita, khususnya dalam penglibatan sukan dan aktiviti-aktiviti riadah yang dianjurkan oleh pihak universiti, kerana mereka sendiri tidak memandang serius akan hal ini.
Menurutnya lagi, program sebegini akan diadakan sekali pada setiap dua minggu, demi memupuk kesedaran tentang kepentingan menjaga kesihatan dalam kalangan mahasiswa universiti.
Program tiga dalam satu ini yang melibatkan semua kakitangan dari jabatan keselamatan, staf jabatan kesihatan dan juga mahasiswa USIM bertempat di Kompleks Sukan Tunku Najihah, Nilai.
Nur Aqilah, pelajar tahun dua Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM) berkata, “Saya amat berpuas hati dengan informasi berkenaan cara menjaga kesihatan badan selepas menjalani pemeriksaan kesihatan percuma.”
Tambahnya lagi, kita haruslah selalu bersenam untuk menjaga kecergasan tubuh badan kita agar tidak ditimpa penyakit-penyakit kronik di hari tua nanti.
Dia juga menyeru agar semua mahasiswa dan mahasiswi USIM agar meluangkan sedikit masa bagi mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti sebegini dan tidak hanya mengejar ilmu akademik sehingga mengabaikan kesihatan diri.
Program Senamrobik, Berbasikal, dan Pemeriksaan Kesihatan Percuma ini dianjurkan oleh Pusat Sukan dan Jabatan Keselamatan USIM dan berlangsung selama dua jam, bermula dari pukul lima hingga tujuh petang bersempena Kejohanan Sukan Antara Kolej (SUKOL).