GEJALA BULI DISEKOLAH SUKAR DIBENDUNG
Islam mengajar umatnya supaya sentiasa berbuat baik dan menghormati sesama manusia. Saban hari kita asyik mendengar banyak perkara-perkara yang kurang elok terjadi disekeliling kita, terutamanya masalah sosial seperti buli dan memeras ugut sering berlaku. Contohnya dalam akhbar-akhbar dan majalah di Malaysia hari ini. Buli merupakan satu bentuk penyalahgunaan melalui perbuatan mengasari orang yang lemah dengan tujuan untuk menunjukkan kekuatan diri. Buli boleh berlaku dalam bentuk fizikal seperti memukul, memeras ugut, menampar, menendang, menarik rambut atau mencubit.
Manakala, buli mental lebih kepada ejek-mengejek, mengusik dan menghina. Secara umumnya perlakuan buli lebih cenderung berlaku dalam kalangan pelajar lelaki, sama ada secara individu atau berkumpulan. Hal ini telah mencapai satu tahap yang amat membimbangkan dan merisaukan semua pihak seperti pihak sekolah, ibu bapa, kerajaan, masyarakat dan lain-lain lagi.
Al-quran ada menceritakan melalui firman Allah yang bermaksud: “Hai orang-orang yang beriman, ingatlah kamu akan nikmat Allah (yang diberikannya) kepadamu, diwaktu suatu kaum bermaksud hendak memanjangkan tangannya kepadamu (untuk berbuat jahat), maka Allah menahan tangan mereka dari kamu. Dan bertaqwalah kepada Allah dan hanya kepada Allah sajalah orang-orang mukmin itu harus bertawakal.” (Surah al-Maidah, ayat 11)
Menurut kajian, kes buli ini menjadi semakin meningkat pada setiap tahun dalam kalangan pelajar dan semakin serius masalahnya. “Jika tidak kerana angin masakan pokok bergoyang”. Oleh itu, setiap masalah yang berlaku tentu mempunyai puncanya.
Terdapat beberapa punca yang menyumbang kepada masalah kes buli ini. Antaranya ialah kekurangan penghayatan nilai-nilai agama yang ada pada pelajar yang sanggup melibatkan dirinya dalam kes buli. Mereka sanggup berbuat demikian hanya untuk mendapatkan perhatian orang lain dan menunjukkan kekuatannya kepada orang lain. Mereka semakin ketandusan nilai kemanusiaan.
Selain itu, ibu bapa yang kurang memberikan belaian kasih sayang dan prihatin kapada anak juga menjadi antara puncanya kes buli ini berlaku. Ibu bapa yang selalu sibuk mencari kebendaan dan bersikap materialistik telah mengabaikan tanggungjawab terhadap anak-anak mereka.
Di samping itu, para pelajar yang masih berumur setahun jagung dan berdarah setampuk pinang ini mudah terpengaruh dengan tindakan rakan sebayanya. Jika kawan-kawannya merupakan pembuli, pelajar tersebut juga akan terikut-ikut perbuatan kawannya supaya dapat diterima oleh ahli-ahli kumpulannya. Bak kata pepatah ‘tiada penyakit yang tiada penyembuhnya’.
Terdapat beberapa langkah yang boleh dilaksanakan untuk membendung dan membanteras kemelut ini. Antaranya ialah pihak kerajaan seperti Kementerian Pelajaran dan juga pihak sekolah harus menitikberatkan isu kes buli ini dalam pelajaran di sekolah dengan melalui mata pelajaran tertentu seperti Pendidikan Moral, Pendidikan Islam, Pendidikan Sivik dan sebagainya. Dengan itu, pelajar akan menyedari bahawa perbuatan buli ini merupakan satu kesalahan dan pelajar juga didedahkan dengan pelbagai maklumat tentang kesan buruk daripada perbuatan membuli dan cara-cara mengelakkannya daripada terbabit dalam kes buli ini.
Selain itu, ceramah atau kempen seperti kempen anti-buli juga boleh diadakan secara berterusan di setiap sekolah dari semasa ke semasa bagi menyedari para pelajar agar menjauhi diri daripada gejala buli. Pihak sekolah juga boleh menggalakkan para pelajar supaya menyertai Kelab Pencegah Jenayah di sekolah dengan aktif.
Hal ini kerana para pelajar akan memperoleh lebih banyak pengetahuan tentang cara-cara mencegah masalah kes buli sekiranya pelajar menjadi pemangsa dalam kes itu dan para pelajar juga boleh menyebarkan informasi yang diperoleh itu kepada rakan-rakan yang lain agar semua pelajar tahu akannya.
Lantaran itu, sebagai umat Islam dan seorang pelajar, kita harus mempunyai satu sikap yang mementingkan keharmonian dan kemakmuran sejagat. Kita mesti membudayakan amalan sentiasa berbuat baik dan menghormati sesama manusia. Ambillah masa yang ada ini untuk kesejahteraan semua.
Hal ini kerana para pelajar merupakan aset negara yang penting dan akan menerajui negara ini pada masa depan. Bak kata peribahasa Melayu ‘pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara’. Oleh itu, semua pihak haruslah bekerjasama dan sehati sejiwa dalam usaha menangani masalah kes buli ini. Kesimpulannya, selagi masalah ini masih berleluasa, impian negara kita yang ingin melahirkan satu bangsa yang bermartabat mulia dan hasrat negara kita yang ingin mencapai Wawasan 2020 hanya tinggal kenangan sahaja.