Mahasiswa USIM Prihatin
Nilai- Kesedaran mengenai kepentingan menderma darah perlu ditingkatkan dalam kalangan mahasiswa dan orang awam kerana ia merupakan amalan mulia yang boleh menyelamatkan nyawa orang lain.
Menurut salah seorang petugas, Doktor Zaharah Adibah Mohammad, “Saya rasa sambutan kempen derma darah pada kali ini sangat menggalakkan dan kerjasama daripada pelajar USIM sendiri adalah sangat bagus.”
Para mahasiswa mula memenuhi ruang foyer FPQS seawal jam 10 pagi untuk sama-sama menderma darah dan berterusan sehingga jam 5 petang.
Menurut Muhamad Solehan Fahmie Zulkifli, pengarah Konvensyen 15 Tahun FPQS ketika ditemuramah berkata, “Walaupun kempen ini merupakan penganjuran kali kedua bagi semester ini di USIM, namun kempen ini tetap mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada para mahasiswa.”
Keadaan foyer yang agak panas dan sempit tidak menjadi penghalang kepada para pelajar untuk terus menyumbang jasa kepada masyarakat. Semua penderma turut dibekalkan dengan makanan ringan dan minuman untuk menambah tenaga mereka selepas proses menderma darah.
Sementara tu, seorang penderma, Noraishah binti Mohd Sapakir berkata, “Sebenarnya sebelum ini saya memang teringin untuk menderma, cuma ada perasaan takut tetapi apabila saya lihat sambutan dari mahasiswa sangat menggalakkan, saya beranikan diri untuk menderma.”
“Tidak salah untuk kita menderma sedikit dalam membantu orang lain memandangkan tiada halangan bagi saya untuk mendaftar sebagai penderma” katanya sambil mengungkapkan rasa lega selepas berjaya menderma dalam kempen ini.