Forum Santai “Non-Muslim Views About Prophet Muhammad” Tarik Minat Mahasiswa
NILAI, 7 April 2015 – Seramai 200 orang mahasiswa hadir memeriahkan majlis forum agama “Non-Muslim Views About Prophet Muhammad” yang diadakan di Dewan Kuliah Utama Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Forum yang bertujuan untuk memberi pendedahan kepada mahasiswa USIM berkaitan dengan pandangan orang bukan Islam terhadap Nabi Muhammad S.A.W mendapat sambutan yang cukup baik daripada mahasiswa.
Penerangan yang cukup jelas yang disampaikan oleh tiga orang ahli panel Dr. Mohd Khairul Nizam, Timbalan Dekan Akademik dan Penyelidikan FPQS, Ikmal Veejay dan pendakwah selebriti yang terkenal, Da’I Azam telah menarik minat mahasiswa untuk mendengar perkongsian ilmu daripada ketiga-tiga panel.
Menurut Mohamad Hafiz bin Hussin, pengarah program tersebut, sebenarnya beliau tidak menyangka program yang diadakan ini mendapat tindak balas yang sangat baik daripada mahasiswa untuk sama-sama datang meraikannya.
“Alhamdulillah program ini berjaya menarik ramai mahasiswa untuk sama-sama hadir dan menghayati tentang pandangan ‘Non-Muslim’ terhadap Nabi Muhammad.”
Tambah Pengerusi Sekreteriat Perhubungan Pelajar (SPP) FPQS, Muhamad Solehan Fahmie Bin Zulkapli, beliau amat berterima kasih kepada pihak JAWI dan juga mahasiswa yang turut serta menjayakan program ini.
“ Forum santai ini mendapat sambutan yang sangat positif dan menggalakkan dengan kehadiran mahasiswa yang melebihi sasaran asal program ini.”
Ujar Da’I Azam, mahasiswa USIM telah membuktikan pengajian ilmiah bukan sahaja dapat diperoleh didalam kuliah semata-mata, tetapi melalui pelbagai cara dan salah satu ialah program yang telah dianjurkan pada malam ini.
“Sambutan yang diberikan oleh mahasiswa ini menggambarkan kehausan mahasiswa USIM dalam mencari dan mendalami ilmu agama dan ia adalah satu petanda yang amat positif dalam memenuhi kehendak baginda nabi kita Muhammad.”
Turut sama memeriahkan perbincangan ilmiah ini kumpulan dikir barat USIM, Tabuh Pendeta yang membawa kelainan dalam persembahan yang berkonsepkan dikir zikir berjaya memukau mahasiswa yang menghadiri majlis ini.