TARBIAH ROHANI USIM STREET DAKWAH
KUALA LUMPUR, 28 FEB 2015 – Seramai 30 orang mahasiswa terdiri daripada Urus Setia Kesenian Pelajar Pusat Kebudayaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) merealisasikan tuntutan agama dalam meneruskan usaha menyebar luas dakwah Islam menerusi satu program kreatif “USIM Street Dakwah” di Pasar Seni, Kuala Lumpur.
Bertemakan “sharing knowledge and awareness”, USIM Street Dakwah mempunyai agenda penting untuk dihayati. Menampilkan konsep pengisian yang berbeza berbanding pemuzik jalanan (busker) yang lain, menghidangkan hiburan yang mengajak ke arah pembentukan sahsiah masyarakat.
Turut serta dalam program ini ialah Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Dr. Musa Ahmad yang ingin merasai sendiri pengalaman sebagai pemuzik jalanan dan juga sebagai seorang pendakwah.
Ujar beliau, pendekatan dakwah untuk menambat hati generasi muda perlu dipelbagaikan sesuai dengan perkembangan semasa.
"Salah satu kewajipan seorang yang bergelar Islam ialah berdakwah dan saya berharap budaya ini dapat diteruskan oleh generasi seterusnya mahasiswa USIM."
Tambah Encik Ismail Ahmed, Pengarah Pusat Kebudayaan, USIM Street Dakwah adalah permulaan kepada mahasiswa USIM untuk mendekati masyarakat umum dengan berdakwah melalui seni.
“Program ini membawa agenda yang membina jati diri dengan pilihan lagu-lagu yang mempunyai hala tuju insaniah dalam mengetengahkan seni muzik, lagu dan puisi yang berteraskan Islam selain berjaya memberi mesej kepada masyarakat umum bahawa dakwah bukan sahaja melalui forum-forum agama atau ceramah tetapi dipelbagaikan melalui kesenian.”
Antara yang hadir dalam menjayakan program ini, Pengarah Urusan Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Noordin Abbas; Timbalan Pengarah JPW, Che Azizah Che Rashid; Pengarang Pendidikan Utusan Malaysia, Wahid Hashim dan Presiden Malaysia Busker’s Club, Wadi Hamdan.
Datuk Mohd. Noordin Abbas berkata, beliau amat berpuas hati dan berterima kasih kepada pihak USIM kerana sudi untuk menjalin kerjasama ini dengan Utusan Malaysia.
"Terima kasih pihak Pusat Kebudayaan USIM kerana memilih Utusan sebagai rakan kerjasama dalam menjayakan program yang saya nampak mendapat respon yang sangat positif daripada penonton yang singgah."
Selain persembahan nyanyian muzik yang diadakan secara percuma kepada pengunjung Pasar Seni itu, Dr. Musa Ahmad dan Mohd. Noordin turut mendeklamasikan puisi masing-masing yang bertajuk Rintis Jalan Dakwah dan Mencari Selesa.
Program yang menampilkan kepelbagaian genre muzik itu membawa kelainan dengan dendangan lagu kerohanian melalui alunan muzik dan bait-bait lirik yang disampaikan ternyata menyajikan satu santapan rohani kepada orang ramai.